petikan Berita Harian Online
KUALA LUMPUR 18 Mac – Penyertaan semakin ramai kaum lelaki di dalam bidang kejururawatan dilihat sebagai satu perkembangan positif bagi kerjaya itu.
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, gabungan tenaga di antara jururawat lelaki dan wanita mampu mendatangkan manfaat kepada bidang perubatan negara ini.
”Pada masa ini, bidang kejururawatan bukan lagi hak milik eksklusif golongan wanita seperti dahulu. Semakin ramai kaum adam menyertai profesion kejururawatan termasuk di negara ini.
”Kekuatan fizikal yang ada pada lelaki dan kelembutan yang ada pada wanita sekiranya diraih dan digembleng secara bersama, tentunya akan memberi banyak manfaat kepada doktor dan pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-3 Kolej Kejururawatan Pusrawi di sini semalam.
Pada majlis itu, Rosmah menyampaikan diploma kepada 105 graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kejururawatan di kolej berkenaan.
Rosmah menambah, jururawat merupakan profesion yang sentiasa diperlukan oleh masyarakat dan mempunyai peranan yang tidak boleh ditukar ganti dalam institusi kesihatan.
”Permintaan terhadap jururawat di setiap negara adalah cukup tinggi dan bilangan jururawat sedia ada seringkali dikatakan tidak mencukupi.
”Ia menunjukkan jururawat sentiasa diperlukan masyarakat. Secara jelas, ia membuktikan jururawat hari ini mempunyai tanggungjawab sejagat yang cukup penting di mata dunia,” katanya.
Sementara itu, Rosmah turut mengemukakan saranan agar Kolej Kejururawatan Pusrawi terus menambah bilangan pelatih bagi memenuhi keperluan jururawat negara.
”Dengan bertambahnya bilangan jururawat terlatih, ia mampu membantu usaha untuk memberi lebih perhatian kepada pesakit terutamanya warga emas, wanita dan kanak-kanak,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment